Bab I

Pendahuluan

Islam adalah agama yang diturunkan oleh Allah swt kepada seluruh manusia tanpa mengenal bangsa yang bersumberkan al-Quran, Sunnah dan Ijma' Ulama. Islam adalah agama yang nyata (waqi'e) dan sesuai dengan fitrah manusia, pada semua tempat, zaman dan situasi menepati citarasa, kehendak, sifat, keinginan, nafsu, perasaan dan akal fikiran manusia. Dalam jiwa, perasaan, nurani dan keinginan manusia terbenamnya rasa sukakan keindahan dan keindahan itu adalah seni. Seni adalah sesuatu yang bersifat abstrak, dapat dipandang, didengar dan disentuh oleh jiwa tetapi tidak dapat dinyatakan melalui kata-kata dan bahasa. Sukar untuk mentakrifkan seni secara tepat sesukar untuk menerangkan konsep keindahan dan kesenangan itu sendiri. Al-Farabi menjelaskan seni sebagai ciptaan yang berbentuk keindahan, Al-Ghazali pula menjelaskan seni dengan maksud kerja yang berkaitan dengan rasa jiwa manusia yang sesuai dengan fitrahnya.

Mengikut kebudayaan Barat, seni sebenarnya tiada hubungan dengan agama. Ini adalah disebabkan oleh dasar sekularisme yang mengasingkan hal keduniaan dengan agama. Walau bagaimanapun seni masih dianggap sebagai
sesuatu yang ideal dan berkaitan dengan moral. Seni juga boleh dibahagi dengan dua tujuan iaitu seni untuk seni dan seni untuk masyarakat, di mana seni untuk seni adalah bertujuan untuk seni sahaja dan orang mencipta seni ini dibebaskan untuk apa-apa tujuan sama ada mengandungi unsur baik atau jahat. Manakala seni untuk masyarakat pula  menyatakan bahawa seni dicipta untuk sesuatu tujuan maka ianya mestilah difahami oleh masyarakat yang digunakan untuk kemasyarakatan, politik dan akhlak.

Eugene Johnson dalam 'The Encyclopedia Americana' menjelaskan seni (art) sebagai kemahiran, misalnya seni pertukangan yang membawa erti kemahiran pertukangan. Dari segi istilah ilmu berkebudayaan, ia membawa erti sebagai segala sesuatu yang indah. Keindahan yang dapat menggerakkan jiwa, kemesraan, menimbulkan keharuan, ketakjuban, kesenangan atau sebaliknya iaitu dendam, benci, cemas dan sebagainya. Drs. Sidi Gazalba dalam bukunya 'Pandangan Islam Tentang Kesenian' menjelaskan bahawa kesenian adalah sebahagian daripada kebudayaan yang dicetuskan oleh sesuatu kelompok manusia kerana setiap kelompok masyarakat mempunyai fitrah semulajadi yang cinta kepada seni yang menyenangkan hati melalui pancaindera yang lima. Justeru itu, manusia dikatakan sebagai makhluk seni yang cinta kepada sesuatu yang selamat, memuaskan dan memberi kepuasan melalui pancaindera. Seni secara ringkasnya dapat dibahagikan kepada empat bahagian utama :

Seni melaui pendengaran seperti musik, deklamasi puisi, prosa, senia suara dan sebagainya.

Seni yang diperolehi melalui penglihatan mata seperti seni lukis, seni hias, seni bina, seni pakaian dan sebagainya.

Seni yang dapat diperolehi melalui pendengaran dan penglihatan seperti drama, tablo, teater, filem dan sebagainya.

Seni yang dinikmati melalui pembacaan seperti hasil karya sastera yang berbentuk puisi dan prosa.

Bab II

Pembahasan

 Konsep Seni Menurut Perspektif Islam 

Seni Islam merupakan sebahagian daripada kebudayaan Islam dan perbezaan antara seni Islam dengan bukan Islam ialah dari segi niat atau tujuan dan nilai akhlak yang terkandung dalam hasil seni Islam. Pencapaian yang dibuat oleh seni Islam itu juga merupakan sumbangan daripada tamadun Islam di mana tujuan seni Islam ini adalah kerana Allah swt. Walaupun seni merupakan salah satu unsur yang disumbangkan tetapi Allah melarang penciptaan seni yang melampaui batas. Firman Allah swt yang bermaksud : "Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang melampaui batas."

Keindahan merupakan salah satu ciri keesaan, kebesaran dan kesempurnaan Allah swt lantas segala yang diciptakanNya juga merupakan pancaran keindahanNya. Manusia dijadikan sebagai makhluk yang paling indah dan paling sempurna. Bumi yang merupakan tempat manusia itu ditempatkan juga dihiasi dengan segala keindahan. Allah swt bukan sekadar menjadikan manusia sebagai makhluk yang terindah tetapi juga mempunyai naluri yang cintakan keindahan. Di sinilah letaknya keistimewaan manusia yang tidak dimiliki oleh makhluk lain sama ada malaikat, jin dan haiwan. Konsep kesenian dan kebudayaan dalam Islam berbeza dengan peradaban Islam yang lain.

Dalam pembangunan seni, kerangka dasarnya mestilah menyeluruh dan meliputi aspek-aspek akhlak, iman, matlamat keagamaan dan falsafah kehidupan manusia. Seni mestilah merupakan satu proses pendidikan yang bersifat positif mengikut kaca mata Islam, menggerakkan semangat, memimpin batin dan membangunkan akhlak. Ertinya seni mestilah bersifat "Al-Amar bil Ma'ruf dan An-Nahy 'an Munkar" (menyuruh berbuat baik dan mencegah kemungkaran) serta membangunkan akhlak masyarakat, bukan membawa kemungkaran dan juga bukan sebagai perosak akhlak ummah. Semua aktiviti kesenian manusia mesti ditundukkan kepada tujuan terakhir (keredhaan Allah dan ketaqwaan). Semua nilai mestilah ditundukkan dalam hubunganNya serta kesanggupan berserah diri. Seni juga seharusnya menjadi alat untuk meningkatkan ketaqwaan.

Prinsip-prinsip (ciri-ciri) Kesenian Islam

1. Mengangkat martabat insan dengan tidak meninggalkan nilai-nilai kemanusiaan dan nilai-nilai persekitaran dan sejagat. Alam sekitar galerinya, manakala manusia menjadi seniman yang menggarap segala unsur kesenian untuk tunduk serta patuh kepada keredhaan Allah swt.

2. Mementingkan persoalan akhlak dan kebenaran yang menyentuh aspek-aspek estetika, kemanusiaan, moral dan lain-lain lagi.

3. Kesenian Islam menghubungkan keindahan sebagai nilai yang tergantung kepada keseluruhan kesahihan Islam itu sendiri. Menurut Islam, kesenian yang mempunyai nilai tertinggi ialah yang mendorong ke arah ketaqwaan, kema'rufan, kesahihan dan budi yang mantap.

4. Kesenian Islam terpancar daripada wahyu Allah, sama seperti undang-undang Allah dan SyariatNya. Maknanya ia harus berada di bawah lingkungan dan peraturan wahyu. Ini yang membezakan kesenian Islam dengan kesenian bukan Islam. 

5. Kesenian Islam menghubungkan manusia dengan tuhan, alam sekitar dan sesama manusia dan juga makhluk.

Islam tidak pernah menolak kesenian selagi dan selama mana kesenian itu bersifat seni untuk masyarakat dan bukannya seni untuk seni. Terdapat lima hukum dalam seni jika diperincikan. Antaranya:

(a) Wajib : Jika kesenian itu amat diperlukan oleh muslim yang mana tanpanya individu tersebut boleh jatuh mudarat seperti keperluan manusia untuk membina dan mencantikkan reka bentuk binaan masjid serta seni taman (landskap) bagi maksud menarik orang ramai untuk mengunjungi rumah Allah swt tersebut.

(b) Sunat : Jika kesenian itu diperlukan untuk membantu atau menaikkan semangat penyatuan umat Islam seperti dalam nasyid, qasidah dan selawat kepada Rasulullah saw yang diucapkan beramai-ramai dalam sambutan Maulidur Rasul atau seni lagu (tarannum) al-Quran.

(c) Makruh : Jika kesenian itu membawa unsur yang sia-sia (lagha) seperti karya seni yang tidak diperlukan oleh manusia.

(d) Haram : Jika kesenian itu berbentuk hiburan yang :

Melekakan manusia sehingga mengabaikan kewajipan-kewajipan yang berupa tanggungjawab asas terhadap Allah swt khasnya seperti ibadah dalam fardhu ain dan kifayah.

Memberi khayalan kepada manusia sehingga tidak dapat membezakan antara yang hak (betul) dan yang batil (salah).

Dicampuri dengan benda-benda haram seperti arak, judi, dadah dan pelbagai kemaksiatan yang lain.

Ada percampuran antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram seperti pergaulan bebas tanpa batas dalam bentuk bersuka-suka yang melampau. 

Objek atau arca dalam bentuk ukiran yang menyerupai patung sama ada dibuat daripada kayu, batu dan lain-lain.

Disertai dengan peralatan musik yang diharamkan oleh Islam seperti alat-alat tiupan, bertali, tabuhan yang bertutup di bahagian atas dan bawah serta alat-alat musik dari tekanan jari. Sesetengah  ulama mengatakan harus hukumnya jika digunakan untuk pendidikan dan tidak menarik kepada konsep al-Malahi (hiburan yang keterlaluan) juga alat-alat musik di atas boleh digunakan untuk tujuan dakwah Islamiyyah, seperti yang pernah dibuat oleh Rabiatul Adawiyyah.

Seni yang merosakkan akhlak dan memudaratkan individu atau yang berbentuk tidak bermoral seperti tarian terkini (kontemporari).

Jenis-jenis seni yang dipertontonkan bagi maksud atau niat yang menunjuk-nunjuk dan kesombongan.

(e) Harus : Apa saja bentuk seni yang tidak ada nas yang mengharamkannya. 

 Bidang-bidang Kesenian Islam 

(a) SENI BINA

Seni bina merupakan di antara bentuk-bentuk seni yang terdapat pada sesuatu tamadun. Menurut Ab. Alim dan Syed Idrus (1995), seni bina bermaksud “satu bidang seni untuk mendirikan bangunan, reka bentuk dan reka letak yang dibina oleh manusia untuk digunakan oleh manusia”. Ibn Khaldun (dalam Mahayudin, 2004) pula berpendapat bahawa seni bina merupakan satu daripada ciri-ciri ketamadunan yang penting kerana ia merupakan lambang atau mercu tanda kegemilangan sesuatu bangsa atau negara.

Pencapaian dan pembangunan seni bina telah bermula sejak zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam (SAW) lagi. Ini dapat dilihat menerusi pembinaan Masjid Quba’ dan Masjid Nabawi (Mahayudin, 2004). Pada zaman pemerintahan Khulafa’ al-Rashidin, terutamanya zaman Khalifah ‘Umar al-Khattab, perkembangan seni bina dianggap paling berjaya kerana beliau amat mengambil berat tentang pembaharuan dalam pelbagai bidang khususnya pembinaan masjid.

Seni bina masjid menjadi lambang keagungan tamadun berbanding dengan barat, kerana unsur-unsur ketamadunan yang dikembangkan di kota-kota raya Islam mementingkan nilai kerohanian dan pada masa yang sama pembangunan fizikal dankebendaan tidak dipinggirkan. Konsep penting dalamseni bina Islam ialah pencapaian iman dan amal, taqwa dan tawadhu', aman dan damai serta merendah hati kepada keagungan Allah s.w.t. Pengagunan dan erhiasan bukanlah menjadi matlamat seni bina Islam, tetapi kerana kreativiti dan inovasi mat, artis, seniman dan arkitek Muslim, ia menjadi suatu seni yang bernilai tinggi yang disepadukan bersama penggunaan corak, warna dan eka bentuk yang dibuat berdasarkan ajaran al-Quran. Kepentingan seni bina masjid di bandar silam Islam digambarkan dengan terdapat 241 buah masjid. Di Kaherah pada abad ke 15 masehi pula terdapat 88 buah masjid jamek (masjid uatama) dan 19 masjid kecil. Selain daripada masjid, seni bina Islam juga merangkumi bangunan-bangunan kediaman, kedai, jambatan, saluranair, rumah rehat, bilik mandi, perpustakaan, sekolah dan sebagainya. Seni bina mencirikan kepada lambang islam dan berlandaskan tauhid kepada Allah s.w.t serta menitikberatkan kepada reka bentuk islam banyak dipengaruhi oleh seni bina masjid seperti istana-istana, taj Mahal, kota-kota seperti kta Baghdad malah di Malaysia sendiri seerti bangunan Sultan Abdul Samad, bangunan kerertapi tanah melayu, bangunan daya bumi dan pintu gerbang darul ehsan. Pada zaman Kerajaan Bani Umayyah dan Bani Abbasiyyah, khalifah-khalifah yang memerintah telah banyak memberi sumbangan penting dalam pencapaian seni bina Islam. Di antaranya ialah:

Khalifah al-Walid bin ‘Abdul Malik (86-87H)

Semasa pemerintahan Khalifah al-Walid, Masjid Suriah di Damsyik yang dahulunya merupakan sebuah gereja masyarakat Kristian berbangsa Yunani telah diperbaharui dan dibangunkan semula (Mahayudin, 2004). Menurut pengarang ini lagi, pada zaman pemerintahan beliaulah bermulanya pembinaan unsur-unsur bangunan masjid secara lengkap seperti mihrab, mimbar, menara, selain tiang dan dinding serta atap.

Khalifah al-Walid banyak menyumbang ke arah kemajuan seni bina Islam semasa pemerintahannya sehingga beliau digelar ‘Pembina Agung Kerajaan Bani Umayyah’ (Mahayudin, 2004). Beliau telah membina pejabat-pejabat kerajaan dan juga beberapa bangunan bagi mengindahkan kota Damsyik dan memulihara Masjid Nabawi di Madinah, Masjid al-Haram di Makkah dan Masjid al-’Aqsa di Bayt al-Maqdis. Beliau juga telah menyempurnakan pembinaan batu di Bayt al-Maqdis iaitu Qubbah al-Sakhrah. (Mahayudin, 2004).

Khalid bin ‘Abdullah al-Qasri

Beliau merupakan gabenor kepada Khalifah Hisham bin ‘Abd al-Malik. Menurut Mahayudin (2004), beliau telah berjaya membina parit-parit dan tali air dalam usaha menyiapkan projek pertanian yang dirancang oleh Khalifah Hisham bin Abd al-Malik.

Khalifah Abdul Rahman II

Di antara sumbangan Khalifah Abdul Rahman II dalam aspek seni bina ialah membuat projek membina menara-menara lampu di beberapa pelabuhan untuk memudahkan kapalkapal perdagangan berlabuh di pantai-pantai Andalus (Mahayudin, 2004).

Khalifah Abu Ja’far al-Mansur

Nama penuh beliau ialah Abu Jaafar Abdullah bin Muhammad bin Ali al-Abbas telah dilahirkan di 101H di al-Hamimah (Mohd Mokhtar, 1993). Hasan Ibrahim (dalam Mohd Mokhtar, 1993) menyatakan bahawa beliau merupakan khalifah Abbasiyah yang kedua selepas Abu al-Abbas al-Saffah. Beliau telah mendirikan sebuah istana yang bernama al- Khuldi di pinggir Sungai Dajlah. Rekabentuk istana ini sangat indah dan kedudukannya yang strategik telah menyebabkan beliau menamakannya ’Qasr al-Khuldi’ yang bermaksud istana abadi. Beliau juga telah membina Masjid Jami’ al-Mansur di hadapan Istana al-Zahab yang mana merupakan masjid yang tertua di Kota Baghdad (Mahayudin, 2004).

Khalifah al-Mahdi

Khalifah al-Mahdi ialah khalifah yang ketiga dalam khalifah-khalifah Bani Abbasiyah peringkat pertama (Mohd Mokhtar, 1993). Beliau telah membina Istana al-Salam di Isabaz dan Masjid Jami’ al-Rishafah pada tahun 157H (Mahayudin, 2004).

Khalifah al-Ma’mun

Universiti Nizamiyyah merupakan pusat pengajian tinggi formal yang ditubuhkan oleh Khalifah al-Ma’mun di zaman pemerintahannya. Penubuhan universiti ini telah member peluang yang besar kepada orang ramai untuk menimba ilmu di peringkat yang lebih tinggi (Mahayudin, 2004). Imam Abu Hanifah, Imam Shafii, Imam Malik, al-Kindi, al-Farabi, Abu Bakar al-Razi dan Ibn Sina adalah antara tokoh-tokoh intelektual yang pernah menuntut di universiti bersejarah ini.

Beliau telah membina Bayt al-Hikmah yang merupakan pusat kegiatan ilmu pengetahuan yang terbesar terletak di Baghdad (Mahayudin, 2004). Pelbagai aktiviti penulisan karyakarya ilmiah dan juga aktiviti penterjemahan buku ke dalam bahasa Arab dijalankan di kutub khanah ini. Beliau juga telah memperkembangkan bidang astronomi dengan membina pusat astronomi di Syamsiyah, berhampiran Kota Baghdad untuk mengawasi pergerakan bintang (Mahayudin, 2004). Kesan daripada penubuhan ini ahli-ahli geografi Islam telah berjaya membuktikan bahawa dunia ini bulat yang mengandungi 360 darjah.

Ibrahim al-Farazi

Beliau merupakan seorang ahli geografi Islam yang telah membuat banyak kajian. Beliau telah berjaya mencipta astrolab yang digunakan oleh ahli pelayaran sehingga kini (Mahayudin, 2004).

Sultan Malik Syah

Sultan Malik Syah telah membina Balai Cerap (Observatori) untuk kegunaan ahli-ahli astronomi mengadakan persidangan. Di Balai cerap inilah Kalendar Parsi diperbaharui (Mahayudin, 2004).

(b) SENI MUSIK

Musik boleh ditakrifkan sebagai bunyi yang menghasilkan bentuk dan irama yang indah dan menyenangkan (Mahayudin, 2004). Bangsa Yunani dikatakan perintis dalam bidang seni musik. Namun begitu setelah kedatangan Islam, orang-orang Islam telah memajukannya. Perkembangan seni musik berlaku pesat pada zaman pemerintahan Kerajaan Abbasiyah di mana kebolehan menyanyi dan bermain alat musik dijadikan prasyarat untuk diterima bekerja (Mohd Mokhtar, 1993). Kesannya, lahirlah ramai tokoh tokoh terkemuka yang arif dalam bidang musik seperti al-Farabi dan al-Kindi.

Al-Farabi

Nama sebenar al-Farabi ialah Abu Nasr Muhammad Ibn Muhammad Ibn Tarkhan (Haliza, 2006). Beliau dilahirkan pada 260 Hijrah (874 Masihi) di Khurasan, Turki. Beliau banyak menyumbang dari segi pemikiran serta penghasilan buku dalam bidang falsafah, mantik, sosiologi, sains dan musik. Di dalam seni musik, al-Farabi merupakan seorang pemusik yang handal dan lagu hasil karya beliau meninggalkan kesan secara langsung kepada pendengarnya. Selain mempunyai kemampuan bermain alat musik, beliau juga berjaya mencipta sejenis alat musik yang dikenali sebagai gambus (Umar, 1983). Mahayudin (2004) pula menyatakan bahawa al-Farabi adalah pencipta dan pengembang seni musik daripada alat rabah dan qanun.

Al-Farabi turut menghasilkan sebuah buku yang mengandungi pengajaran dan teori musik Islam yang diberi judul al-Musiqa (Haliza, 2006, Mahayudin, 2004, Abd Alim dan Syed Idrus, 1995). Menurut Mahayudin (2004), beliau juga terkenal menerusi karyanya yang diterjemahkan bertajuk Grand Book on Music, Styles in Music dan On The Classification of Rhythm. Buku-buku ini sebenarnya diterjemahkan daripada karya bahasa Arab dan menjadi rujukan penting di Eropah. Selain itu, beliau juga member sumbangan yang besar dalam penciptaan not-not musik.

Al-Kindi

Nama sebenar al-Kindi ialah Abu Yusuf Ya’qub Ibn Ishaq al-Kindi. Beliau dilahirkan di Kufah sekitar tahun 800 Masihi (Dipetik di http://www.muslimheritage.htm). Beliau merupakan seorang yang pakar dalam bidang musik dan banyak menghasilkan buku-buku mengenai teori-teori musik. Banyak karyanya telah diterjemahkan kepada bahasa-bahasa Eropah antaranya, Essentials of Knowledge in Music, On The Melodies dan The Necessary Book in the Composition of Melodies (Mahayudin, 2004).

Al-Kindi juga telah berjaya menemui pelbagai not musik yang mana apabila digabungkan akan menghasilkan harmoni. Mengikut beliau, nada-nada suara yang terlalu rendah dan terlalu tinggi adalah tidak seimbang dan tidak menyenangkan (Dipetik di http://www.muslimphilosophy.com). Al-Kindi juga berpendapat bahawa musik termasuk dalam disiplin ilmu sains, di samping turut berhubung rapat dengan matematik dan member kesan terhadap kesihatan (Mahmood Zuhdi, 2003).

Muhyiddin Ibn Arabi

Beliau merupakan seorang ahli musik Islam yang terkenal. Karya-karyanya banyak berkisar tentang alat-alat musik (Mahayudin, 2004). Di dalam bukunya beliau menerangkan bahawa Islam mencadangkan agar seni musik dipertingkatkan.

Safi al-Din Abd al-Mu’min

Beliau merupakan orang yang pertama sekali membina sekolah musik. Malahan, beliau turut menghasilkan beberapa karya musik menerusi Syarifiya dan Modus Musik (Mahayudin, 2004). Beliau turut digelar ’Father of Music’ oleh ahli musik Barat yang mengagumi hasil karya seninya.

Shams al-Din Muhammad bin Safi al-Din

Beliau adalah anak kepada Safi al-Din yang juga merupakan pakar dalam bidang musik yang terkenal. Terdapat buku-buku hasil ciptaannya yang diterjemahkan seperti The Jewels of Arrangement in the Knowledge of the Melodies (Mahayudin, 2004).

Al-Isfahani

Beliau merupakan seorang yang pakar dalam seni musik. Hasil karya beliau yang begitu terkenal ialah al-Aghani dan telah diterjemahkan ke dalam bahasa Eropah dengan nama The Grand Book of Songs yang mengandungi 21 jilid (Mahayudin, 2004).

Khalil bin Ahmad

Beliau ialah orang yang pertama berjaya menghasilkan kamus musik yang telah diterjemahkan bertajuk The Book Notes dan The Book of Rhythm (Mahayudin, 2004). Hasil karya beliau ini telah dijadikan sebagai buku teks rujukan bagi pelajar-pelajar universiti di Sepanyol (Mahayudin, 2004).

Al-Urmawi

Nama sebenar beliau ialah Abd al-Mu’min Ibn Yusuf Ibn Fakhir (Dipetik di http://www.muslimheritage.com). Beliau dilahirkan pada tahun 1230 Masihi. Al-Urmawi begitu dikenali kerana beliau merupakan seorang pembuat biola dan juga ahli musik pada zaman Khalifah al-Musta’sim. Berdasarkan fakta-fakta di atas dapat disimpulkan bahawa orang-orang Islam bukannya mencedok ilmu musik daripada masyarakat Yunani tetapi telah terbukti mereka begitu kreatif dalam penghasilan karya musik yang tersendiri.

(c) SENI KHAT DAN KALIGRAFI

Seni khat merupakan satu seni yang berkembang seiring dengan perkembangan bidang seni yang lain terutama sekali seni ukiran. Hal ini diperakui oleh kebanyakan penulis buku Tamadun Islam (Ghazali, 2001, Ab. Alim dan Syed Idrus, 1995,

Mahayudin, 2004, Kamil al-Baba, 1992). Seni khat ialah satu seni yang berkaitan dengan tulisan. Syeikh Shams al-Din al-Akfani (dalam Mahayudin, 2004) menjelaskan bahawa seni khat atau kaligrafi adalah satu ilmu yang memperkenalkan bentuk-bentuk huruf-huruf tunggal, letaknya dan cara-cara merangkainya menjadi tulisan yang tersusun atau apa-apa yang ditulis di atas garis-garis bagaimana cara menulisnya dan menentukan mana yang tidak perlu ditulis; menggubah ejaan yang perlu digubah dan menentukan cara bagaimana untuk menggubahnya.

Terdapat banyak khat yang digunakan oleh orang Islam seperti khat kufi, nasakh, thuluth, rayhan, muhaqqaq, tawqi’, riq’ah, diwan, ijazah, parisi, diwan jali, ta’liq, nasta’liq, dan sebagainya (Kamil al-Baba, 1992). Terdapat sumber mengatakan bahawa khat yang tertua ialah khat kufi (Mahayudin, 2004, Ab. Alim dan Syed Idrus, 1995 dan Seyyed Hossein Nasr, 1987).

Seni khat berkembang dengan perkembangan seni ukiran dan kadang-kadang kedua-dua bidang seni ini tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain. Ia juga menjadi coretan tulisan indah daripada kehalusan rasa seni dan ketajaman daya pemikiran manusia yang mencipta seni tulisan sebagai lambang kepada perkataan yang dituturkan. Perbezaannya dengan huruf-huruf lain adalah dari segi keindahannya, mudah dirobah, disandarkan kepada perkara yang berkaitan dengan agama dan digunakan untuk menulis ayat-ayat suci.

Di antara tokoh-tokoh ilmuwan yang terkenal dalam bidang seni khat dan kaligrafi ialah Ibn Muqlah, Ibn Bawwab dan juga Yaqut al-Musta’simi.

Ibn Muqlah

Nama sebenar beliau ialah Abu Ali Muhammad Ibn Ali Ibn Muqlah (Kamil al-Baba, 1992). Beliau dilahirkan di Baghdad dalam tahun 886 Masihi merupakan di antara ahli kaligrafi yang masyhur di zaman pemerintahan Bani Abbasiyyah. Ibn Muqlah dianggap sebagai pencipta tulisan khat naskhi yang menggantikan tempat khat kufi dalam keseragaman kaligrafi Islam (Kamil al-Baba, 1992).

Beliau telah memperkenalkan khat al-Mansub (proportional script) di dalam sejarah kaligrafi Islam. Di dalam khat ini, beliau telah menetapkan satu sistem ukuran dalam menulis satu-satu huruf. Misalnya huruf alif ditulis berpandukan titik-titik (3, 5 atau 7 titik) (Kamil al-Baba, 1992).

Ibn Bawwab

Ibn Bawwab ialah Abu al-Hassan Ali Ibn Hilal Ibn al-Bawwab dilahirkan di Baghdad (Seyyed Hossein Nasr, 1987). Beliau digelar Ibn Bawwab kerana ayahnya adalah seorang jurukunci (bawwab) Dar al-Qada’ (bilik pengadilan) di Baghdad. Semenjak kecil lagi beliau telah mempelajari ilmu khat dengan Muhammad Ibn Asad dan Muhammad al-Simsimani (Kamil al-Baba, 1992).

Beliau yang merupakan ahli kaligrafi pada zaman Bani Abbasiyyah dianggap sebagai pencipta kepada khat rayhani dan muhaqqaq (dipetik di http://www.muslim.org). Terdapat sebanyak 64 buah al-Qur’an ditulis oleh Ibn Bawwab yang mana salah satunya ditulis dengan khat rayhani (Kamil al-Baba, 1992).

Yaqut al-Musta’simi

Nama sebenar beliau ialah Syekh Jamaluddin Yaqut al-Musta’simi al-Thawusyi al-Baghdadi (Kamil al-Baba, 1992). Selain daripada menjadi ketua di Perpustakaan al-Mustansyiriyyah, beliau juga dikenali sebagai budayawan dan ahli pujangga. Tulisannyadikatakan lebih cantik daripada Ibn Muqlah dan Ibn Bawwab.

Beliau pernah digelar sebagai Qiblat al-Kuttab yang bermaksud kiblat para penulis khat Kamil al-Baba, 1992). Beliau juga dikatakan pengasas kepada ”Sittah”enam jenis tulisan yang terkenal ketika itu (Ghazali, 2001).

(d) SENI SASTERA

Kesusasteraan Islam bermula sejak dari turunnya wahyu dari Allah Subahanahu Wataala (SWT) yang terakhir iaitu kitab al-Qur’an al-Karim. Al-Qur’an merupakan sebesar-besar mukjizat bagi umat Islam. Menurut Mustafa Haji Daud (1991), al-Qur’an itu ialah sumber kesusasteraan Islam yang dapat dilihat dari dua aspek iaitu keindahan bahasa dan dari segi isi. Maka tiada sesiapapun yang dapat menandingi keindahan bahasa yang terkandung dalam al-Qur’an.

Terdapat ramai tokoh-tokoh ilmuwan Islam yang memberi sumbangan yang besar di dalam seni sastera Islam. Karya-karya seperti The Arabian Night, Ali Baba and the 40 Thieves, Sinbad the Sailor, dan Aladin and the Magic Lamp begitu popular hingga ke negara-negara Barat.

Di antara intelektual Islam yang terkenal dalam seni sastera ialah:

Firdawsi

Firdawsi amat terkenal melalui hasil karyanya yang berjudul Hikayat 1001 Malam (dipetik di http://www.muslimphilosophy.com). Ceritanya telah banyak memberi kesan kepada masyarakat Islam dan tidak ketinggalan juga orang-orang Barat sehinggakan ia telah diterjemahkan ke dalam beratus-ratus bahasa. Beliau juga menghasilkan karya bertajuk Shah Nameh yang turut diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dengan judul Epic Kings (Ghazali, 2001).

Ibn Tufayl

Nama sebenar beliau ialah Abu Bakr Muhammad Ibn Abd al-Malik Ibn Muhammad Ibn Muhammad Ibn Tufayl al-Qaysi (dipetik di http://www.muslimheritage.com). Di dalam karyanya, beliau menceritakan tentang bagaimana seseorang mencapai fasa perkembangan yang tinggi sekali tanpa bantuan apa-apa daripada orang lain atau dari alam sekitarnya (Hasan, 1971). Ibn Tufayl dengan karyanya Hayy Ibn Yaqzan yang mengungkapkan bahawa manusia boleh mengenal Tuhan tanpa wahyu dan guru telah mempengaruhi pemikiran orang Eropah. Karya ini telah diterjemahkan ke bahasa Latin oleh Roger Bacon dan diterbitkan bersama-sama teks Arab di Oxford pada tahun 1671 (Dipetik di http://www.members.tripod.com/man 999/ sumbangan_Islam_2.htm). Orang Eropah bukan setakat menterjemah malahan mereka juga menghayatinya melalui penciptaan kisah-kisah berdasarkan idea yang dikemukakan dalam buku tersebut. Antara kisah tersebut ialah Crusoe yang dihasilkan pada abad ke 18 (Hasan, 1971).

Omar Khayyam

Omar Khayyam juga terkenal sebagai seorang penyair yang hebat di zamannya. Malah, beliau pernah menjadi terkenal di kalangan dunia Barat sejak tahun 1839 apabila Edward Fitzgerald menerbitkan terjemahan Bahasa Inggeris bagi bukunya, Rubayyat (Dipetik di http://www.tutor.com.my/tutor) . Buku ini menggambarkan kehebatan dan kekayaan ilmu yang dimilikinya. Sumbangan beliau sebagai ahli falsafah banyak meletakkan asas dalam tamadun keilmuan manusia sejagat.

Abu al-Sult Ibn Abdul Aziz

Antara sarjana Islam yang terkemuka di Andalus pada abad keenam hijriyyah termasuklah Abu al-Sult Umaiyah Ibn Abdul Aziz Ibn Abi al-Sulf (Mahmood Zuhdi, 2003). Beliau dilahirkan di Daniat, Andalus Timur pada tahun 459 H (1067 M) (Ibn Abi Usaiba’ah, 1965). Beliau banyak menggubah syair-syair puji-pujian kepada raja untuk mencari rezeki. Selain antologi-antologi syair, beliau juga menghasilkan karya berkenaan dengan sastera iaitu al-Mulah al-Asriyah, Hadiqah al-Adab, dan al-Risalah al-Misriyyah (Ibn Abi Usaiba’ah, 1965).

Ibn Bajjah

Beliau ialah Abu Bakr Muhammad Ibn Yahya al-Sa’igh dilahirkan di Saragossa pada tahun 457 H (1082 M) (Mahmood Zuhdi, 2003). Beliau merupakan seorang sasterawan yang unggul, ahli bahasa dan seorang hafiz al-Qur’an. Beliau menghasilkan karya seperti Risalah al-Wida’, al-Risalah al-Ittisal dan al-Madinah al-Fadilah (Umar Furrukh, 1983).

Bab III

Penutup dan Kesimpulan

Berdasarkan fakta yang dinyatakan di atas, sememangnya telah terbukti bahawa tamadun Islam telah memberikan sumbangan yang amat besar melalui intelektual Islam di dalam perkembangan sebahagian besar cabang seni yang wujud pada hari ini. Pada hakikatnya Islam tidak pernah menolak kesenian malahan menerapkan unsur-unsur murni yang menjadi teras kepada setiap cabang seni iaitu Tauhid bersesuaian dengan peredaran zaman. Jelas menunjukkan bahawa perkembangan seni sama ada seni khat, seni bina, seni sastera mahupun seni musik telah pun dibangunkan awal-awal lagi oleh ilmuwan Islam. Buktinya ramai pencinta seni dari barat mempelajari dan mengkaji hasil seni ilmuwan Islam dan seterusnya menggunakan pengetahuan itu untuk menjadi teras kebangkitan ketamadunan mereka. Malahan pembangunan ilmu dalam dunia Islam telah diakui sebagai pemangkin kepada Zaman Renaissance atau Pembaharuan di Eropah (Azhar et.al, 2002) yang akhirnya melahirkan satu tamadun yang gemilang di sana.

Generasi pada hari ini sepatutnya merasa bangga dengan sumbangan ilmuwan Islam yang begitu besar terhadap peradaban dan tamadun manusia malahan mereka perlu mempunyai semangat dan iltizam untuk mengulangi keagungan tahap pencapaian ilmu pengetahuan intelektual Islam satu masa dahulu. Apa yang membantu kejayaan umat Islam dalam bidang-bidang ilmu seperti ini ialah Islam itu sendiri yang bersikap terbuka dan positif terhadap ilmu pengetahuan. Malahan al-Qur’an juga sentiasa menggesa umat Islam supaya berfikir dan meneliti tentang manusia dan alam Adalah menjadi aspirasi dan impian kita untuk menyaksikan suatu hari nanti sejarah keagungan umat Islam seperti dahulu akan kembali berulang. 

Daftar Pustaka:

Buku

Azhar, M.A., Azharudin, M.D., Suffian, M. & Zulkanain, A.R. (2002). Tamadun Islam dan tamadun Asia. (2nd ed.). Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Ab. Alim, A. R. & Syed Idrus, S. M. (1995). Tamadun Islam. Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Ghazali, D. (2001). Sumbangan sarjana dalam tamadun Islam. Utusan Publications and Distributors Sdn. Bhd.

Hasan, L. (1987). Pendidikan Islam: satu analisa sosio psikologikal. (t.t.): Pustaka Antara.

Kamil, B. (1983). Dinamika kaligrafi Islam. (Terjemahan: Sirojuddin, A. R. (1992)). Jakarta: Dar al-‘Ulum Press.

Mahayudin, Y. (2004). Tamadun Islam. Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Mohd Mokhtar, S. (1993). Sejarah keagungan kerajaan Islam. Nurin Enterprise.

Seyyed Hossein Nasr. (1987). Spiritualitas dan seni Islam. (Terjemahan: Sutejo. (1992)) Bandung: Penerbit Mizan.

Surat kabar:

Haliza, H. Al-Farabi. Berita Harian. Februari 27, 2006.

Internet:

http://www.muslimheritage.com

http://www.muslimphilosophy.com

http://www.tutor.com.my/tutor

http://www.members.tripod.com/man999/sumbangan_Islam_2.htm
 


Comments




Leave a Reply