PENDAHULUAN

Satu aspek yang sangat relevan dengan perkembangan bahasa menurut perspektif Islam ialah seni. Seni adalah sesuatu yang indah. Ia merupakan satu fenomena yang menjadi idaman setiap insan, kahalusan akhlak dan sentuhan jiwa telah menyemarakan lagi hati seseorang untuk menjadikan seni sebagai idaman. Seorang yang mempunyai jiwa yang halus akan melahir nilai-nilai seni yang lembut, manakala kekasaran sifat dan akhlah seorang akan membentuk seni yang kurang mendapat perhatian orang lain, dalam ertikata lain ia akan memudahkan seseorang menilai diri orang lain melalui sikap dan percakapan serta akhlak.

Umumnya seni adalah satu perkara yang boleh didefinisikan sebagai manifestasi daripada perasaan dan fikiran dengan
berbagai-bagai cara dan bentuk. Seni wujud dalam bentuk sastera, lagu, tulisan, ukiran, senibina, dan lain-lain. Islam bukan saja membenarkan kesenian dengan berbagai-bagai caranya, tetapi ia menggalakkan perkembangan kesenian tersebut. Namun demikian kebenaran Islam haruslah menepati dan seiring dengan syariat Allah SWT.. Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:“Bahwa sesungguhnya Allah SWT itu indah dan kasih kepada yang indah‘.1

Mengikut huraian ahli-ahli seni, seni khat atau kaligrafi mempunyai kedudukan istimewa dalam masyarakat Islam, maka kepada mereka yang arif dalam ilmu ini juga mendapat tempat dan kedudukan tertentu. Di negara bukan Islam juga khat Arab mendapat tempat, khususnya negara-negara yang telah menjadi destinasi orang Islam seperti Amerika, England, Scotland, Holland, Perancis, Jerman, China dan beberapa buah negara di Afrika Selatan. Justru itu tindakan Nabi Muhammad s.a.w mengeluarkan tawaran istimewa kepada tawanan perang di kalangan kuffar adalah sangat releven. Baginda Rasulullah bersedia membebaskan ramai di kalangan orang tahanan perang dari orang-orang kuffar jika sekiranya mereka berjaya mengajar menulis dan membaca kepada sepuluh orang anak-anak orang Islam yang buta huruf.2

Tindakan Rasulullah s.a.w itu telah membuktikan bahwa ilmu dan penulisan Islam telah sampai ke tangan orang-orang bukan Islam, sehingga orang Islam sendiri dibenarkan oleh Rasul mempelajari ilmu penulisan dan bahasa di tangan orang bukan Islam.

KEISTIMEWAAN SESUATU KAUM

Di antara ulama' Islam yang telah memberi pendapat sedemikian ialah Dr. Ahmad Amin Misri. Beliau telah menegaskan dalam kitabnya Duha al-Islam bahwa setiap bangsa mempunyai nilai-nilai tersendiri, sebagai contoh:

Bangsa Greek, mereka mempunyai satu anugerah yang diberi oleh Allah dengan kekayaan pemikiran dan perasaan, di antara pemikiran mereka yang kekal sampai ke hari ini seperti; ilmu falsafah, ilmu falak, ilmu sains, perubatan, sejarah, politik dan kesenian, sebagai contoh Euclide merupakan pelopor dalam bidang geometri sejak kurun ke-3 sebelum Masihi.3

Selain daripada bangsa Greek, bangsa Parsi juga turut mendapat keistimewaan. Mereka juga telah dianugerahkan oleh Allah SWT kecakapan bahasa tulisan. Oleh sebab itu sejak kerajaan Bani Umayyah lagi Raja-raja Parsi menamakan jurutulis-jurutulis perutusan dengan nama Penterjemah Di raja seperti ‘Abd al-Hamid al-Katib dan lain-lain lagi.4

Menurut Dr. Ahmad Amin, Abu Amru `Uthman ibn al-Jahiz telah berkata:

Orang-orang India juga terkenal dengan kepandaian dalam pelbagai disiplin ilmu, seperti Ilmu Hisab, Ilmu Bintang, Ilmu Kedoktoran, Tukang Pateri, Pertukangan Tangan dan lain-lain perusahaan, bahkan kepandaian mereka juga tersohor dengan pengunaan kata-kata hikmat dan bermadah. Oleh kerana itu Maharaja China pernah memberi gelaran kepada Raja India sebagai Raja Ilmu.5

Gelaran tersebut adalah hasil daripada kepandaian orang-orang India sendiri dalam mencipta dan mempelbagaikan disiplin ilmu.

 

SENI KALIGERAFI DAN KEISTIMEWAAN ORANG ARAB

Perlu disentuh di sini bahwa setiap umat di dunia dikurniakan oleh Allah SWT. dengan keistimewaan-keistimewaan tertentu. Kadang-kadang keistimewaan tersebut datangnya melalui sudut yang bebeda-beda sama ada dalam bentuk fisikal, mental, suara dan lain-lain. Keistimewaan-keistimewaan yang ada pada mereka itu telah menyumbangkan sesuatu kepada bangsa tersebut dalam usaha menuju ke arah ketamadunan yang lebih mampan, sekaligus menjadikan mereka lebih dihormati dan disegani oleh bangsa-bangsa lain.

Bangsa Arab adalah satu bangsa yang telah dianugerahkan kepada mereka oleh Allah SWT. dengan kelebihan-kelebihan tertentu, diantaranya ialah bahasa Arab (al-lughah al-`Arabiyyah). Sesungguhnya bangsa Arab diantara bangsa yang telah lama wujud di atas muka bumi bermula sejak di zaman Nabi Isma‘il a.s. ibn Ibrahim a.s.. Justru bermula dari tarikh Nabi Ibrahim a.s., Baginda dinisbahkan sebagai insan pertama yang bertutur di dalam bahasa Arab. Rasulullah s.a.w. telah menegaskan bahwa Nabi Ibrahim telah diilhamkan Bahasa Arab oleh Allah SWT.6 dan Baginda ialah insan pertama yang bertutur dengan bahasa tersebut.

Justru boleh disifatkan bahwa bahasa Arab mempunyai lima aspek utama yang menyebabkan ia dinobatkan sebagai bahasa yang berada di tempat tertinggi, lebih-lebih lagi ia mempunyai ciri-ciri yang amat berbeda dangan bahasa-bahasa lain di dunia, di antaranya:

Bahasa Arab sebagai bahasa perantaraan Allah SWT. dengan i. makhlukNya.

Bahasa Arab sebagai bahasa al-Qur’an yang dibaca oleh seluruh umat Islam sama ada di dalam solat mereka maupun di luar dari solat.

Bahasa Arab adalah bahasa pertuturan junjungan besar Nabi iii. Muhammad s.a.w..

Bahasa Arab mempunyai tamadun yang agak tua berbanding dengan iv. bahasa-bahasa lain di dunia.

Bahasa Arab telah diiktiraf sebagai salah satu bahasa perantaraan v. antarabangsa. Pengiktirafan tersebut telah dibuat oleh PBB pada No:3190-28 Disember 1973 bil. 2206.7 Menurut Prof. Hijazi, PBB juga telah mengiktirafkan Bahasa Arab sebagai bahasa yang ke-7 selepas bahasa-bahasa lain di dunia.8

Kelima-lima faktor di atas telah menobatkan bahasa Arab berada dipuncak bahasa-bahasa lain mengikut perspektif umat Islam, bahkan telah membedakan daripada bahasa-bahasa lain di dunia. Oleh yang demikian, sudah memadai untuk umat manusia mempercayai bahwa bahasa Arab ialah bahasa yang mempunyai beberapa keunikan berbanding dengan bahasa-bahasa lain disebabkan oleh keindahan suaranya, kepadatan maknanya,9 keganjilan sebutannya, kemerduan bunyinya, keindahan hurufnya sehingga menjadikan ia satu-satu bahasa yang telah dipilih oleh Allah SWT. sebagai kalam untuk menyampaikan wahyuNya kepada makhluk manusia. Justru itu, sekiranya keindahan bahasanya sudah diperakui umum, maka apa salahnya keindahan itu dikongsi bersama oleh khat atau kaligrafinya. Oleh yang demikian, bukan menjadi satu keajaiban sekiranya dikatakan khat Arab di antara khat-khat yang paling indah seiring dengan bahasa Arab itu sendiri.

 

SEJARAH KELAHIRAN KALIGERAFI ARAB

Menurut Dr. Riyad banyak pendapat telah di utarakan tentang tarikh sebenar permulaan khat Arab, namun tidak seorang pun yang berpendapat bahwa boleh dikatakan permulaan bahasa khat Arab adalah daripada kabilah-kabilah tertentu. Mengikut beliau lagi, terdapat dua puluh tiga pendapat, namun kesemua pendapat-pendapat tesebut mempunyai peringatan yang bertentangan.10

Sesungguhnya khat Arab telah bermula sejak sebelum kedatangan Islam lagi. Diantara peringatan yang dapat diperolehi ialah ramai dalam kalangan para sahabat Rasulullah s.a.w. yang boleh menulis dan membaca sebelum kedatangan Islam lagi, diantaranya ialah `Umar ibn al-Khattab, `Ali ibn Abi Talib, `Uthman Ibn `Affan, Abu Ubaydah Ibn al-Jarrah, Talhah bin `Ubaydillah, Yazid bin ibn Abi Sufyan, Abu Huzayfah ibn `Utbah ibn Rabi`ah, Hatib ibn Amru al-Amiri, Abu Salamah ibn `Abd al-Asad al-Mahkzumi, Aban ibn Sa`id al-As ibn Umayyah, Khalid ibn Sa`id dan saudaranya Abu Sufyan ibn Harb ibn Umayyah, Mu`awiyyah ibn Abu Sufyan, Jahm ibn al-Salt ibn Mazamah ibn `Abd al-Manaf dan al-`Ala’ ibn al-Hadrami.11

Selain daripada itu terdapat dalam kalangan para ulama’ yang menegaskan bahwa penulisan khat Arab telah sampai ke tangan Quraysh melalui mantiqah (Hirah) iaitu sebuah kawasan yang terletak di antara mantiqah (Ha’il) di

sebelah Timur dan Madinah Munawarah di sebelah Selatan serta mantiqah al-Ula di sebelah Utara. Ketiga-tiga mantiqah tersebut terletak di dalam negara Arab Saudi sekarang.12

Justru penulis berpendapat walaupun tarikh sebenar penulisan khat Arab tidak dapat dipastikan, namun bagi umat Islam, mereka boleh membuat satu tarikh ringkas iaitu bermula dari kurun awal Hijrah kerana tarikh ini boleh disanadkan kepada tarikh khat Arab bermula iaitu pada malam penurunan Wahyu di Gua Hira’. Sesungguhnya pada malam tersebut Jibril a.s. telah membawa ayat (Iqra’) kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Menurut kitab sirah Nabawiyyah, Jibril a.s. telah membawa sehelai kain serba putih dan tertera di atasnya kalimah (Iqra’). Oleh itu, penulis berpendapat adalah logik sekiranya tarikh sebenar bila bermulanya penulisan khat Arab tidak dapat dipastikan, maka tarikh tersebut boleh dijadikan panduan kepada umat Islam.

 

SEJARAH KALIGERAFI ARAB DI HIJAZ

Sejarah telah menunjukan penulisan Arab telah bertapak di bumi Hijaz sejak kurun ke-3 Masehi lagi. Di antara bukti-bukti yang mengukuhkan pendapat ini ialah penulisan di atas batu-batu yang terukir dengan khat Arab yang dijumpai di sebelah Utara negeri Hijaz. Khat-khat tersebut didapati mempunyai hubungan dengan tamadun Parsi dan Rom. Talhah berkata `Adi bin Zayd al-Abadi (wafat 35 sblm Hijrah) telah disuruh oleh bapaknya mempelajari tulisan Arab sehingga dapat menguasai khat Arab. Dikatakan `Adi adalah orang pertama yang menulis khat Arab di dalam Dewan Kisra.13

Ibn Khaldun (wafat 808 H) telah berkata di dalam Muqaddimahnya, sesungguhnya khat Arab telah sampai di negeri al-Tabayinah sejajar dengan tamadun negara tersebut dan diberi nama Khat al-Himyari. Selepas itu khat tersebut telah berpindah ke al-Hirah sebuah negeri yang diperintah oleh Raja al-Munzir, dan ada pendapat yang mengatakan bahwa para cendiakawan dan bijak pandai di dalam negeri Iraq pada ketika itu telah mepunyai khat mereka sendiri. Namun demikian khat mereka tidak setanding dengan khat orang al-Tabayinah yang mempunyai khat Arab.14

Selain daripada itu, khat Arab juga telah dibawa ke negeri seperti Ta’if dan Mekah, dan kedua-dua tempat ini menjadi penempatan Arab Quraysh, sehinggalah khat Arab telah dibawa oleh orang-orang Ta’if ke negeri mereka dan akhirnya bertapak di Mekah.15 Kajian telah menunjukkan bahwa orang-orang Arab telah mengenali khat Arab sebelum kedatangan Islam lagi, dan sebahagian besar daripada mereka telah membukukan ingatan dan syair-syair mereka di atas batu-batu, kulit-kulit binatang dan juga daun-daun kayu sebagai dhikrayat (ingatan) di dalam kehidupan mereka.

Ahli-ahli sejarah telah menegaskan bahwa Bashar bin `Abd al-Malik al-Kindi telah datang ke Hirah dan mempelajari ilmu-ilmu khat Arab daripada orang-orang Hirah. Kemudian beliau pergi ke Mekah dan di sepanjang perjalanan ke Mekah, beliau telah bertemu dengan Sufyan bin Umayyah bin `Abd al-Shams dan Abu Qays bin `Abd al-Manaf bin Zuhrah bin Kilab. Menurut Bashar, beliau telah melihat Sufyan bin Umayyah sedang menulis dengan khat Arab, lalu beliau telah meminta orang-orang Hirah untuk mengajarnya. Orang-orang Hirah telah mengajarnya huruf-huruf Hija’ah (Huruf Arab). Kemudian Bashar dan Abu Qays berpindah pula ke Ta’if. Dalam perjalanan tersebut turut bersama mereka ialah Ghaylan bin Salamah al-Thaqafi. Semasa berada di sana, Ghaylan telah mempelajari Khat Arab daripada mereka berdua. Selepas daripada itu, Ghaylan telah mengajar orang-orang Ta’if menulis bahasa mereka dengan khat Arab yang telah dipelajarinya.

Jika diperhatikan kepada sejarah-sejarah penulisan atau khat Arab, maka boleh ditegaskan di sini bahwa khat Arab telah datang dari Hirah dan dibawa oleh Bashar dan diambil oleh Ghaylan, manakala Ghaylan pula telah mengajar orang-orang Ta’if tentang khat Arab. Selain daripada itu Bashar juga telah berpindah ke negeri Sham. Di sana beliau telah mengajar penduduk Sham, bermula daripada kesunguhan mereka-mereka ini ramailah orang-orang Arab yang telah mempelajari khat Arab. Manakala ahli-ahli sejarah lain pula berpendapat serta menegaskan bahwa khat Arab berasal dari khat ahli Hirah yang telah sampai kepada mereka melalui penduduk Himyar.16

KALIGERAFI ARAB DAN KEUNIKANNYA

Khat Arab telah menggambarkan kepada manusia terdapat beberapa keunikan di dalam penulisan Arab. Diantara keunikan tersebut ialah bentuk huruf yang boleh disambungkan di antara satu dengan yang lain. Huruf-furuf tersebut dipanggil huruf muwassalah iaitu huruf-huruf Arab yang boleh disambung dengan mana-mana huruf sebanyak 28 huruf dan kesemua huruf-huruf tersebut telah diputuskan oleh al-`Allamah Abi Aswad al-Du’ali (wafat 57 H). Manakala huruf-huruf yang tidak boleh disambungkan dengan huruf-huruf lain dinamakan huruf muqatta`ah yang memberi maksud huruf-huruf yang hanya ditulis berasingan dan huruf ini hanya satu saja iaitulah hamzah (ء).17 Ini bermakna huruf-huruf Arab tersebut tidak boleh direka dan ditambah oleh orang-orang Arab moden.

Professor Dr. Riyad telah berpendapat bahwa khat Arab telah dibahagi kepada dua susunan, susunan pertama berdasarkan kepada huruf-huruf di bawah:



Untuk memudahkan hafalan huruf-huruf tersebut, maka ulama-ulama telah mencantumkan huruf-huruf Arab supaya menjadi perkataan yang mudah dipelajari dan dihafal khususnya di kalangan kanak-kanak Islam.18 Justru para ulama’ Arab telah mencantumkan huruf-huruf tersebut tanpa melihat kepada makna yang tersirat di sebalik cantuman. Namun matlamat mereka ialah memberi satu kemudahan kepada kanak-kanak, sebagai contoh:



Manakala susunan baru yang telah sampai di Nusantara adalah seperti berikut:



Sesungguhnya susunan tersebut telah memudahkan setiap umat Islam mempelajari al-Qur’an al-Karim pada hari ini. Selain daripada itu susunan tersebut memudahkan kanak-kanak mempelajari penulisan Arab. Seni khat Arab turut mempunyai ciri-ciri perbedaan dengan kesenian-kesenian lain. Oleh itu untuk memperkembangkan seni khat agar kelihatan lebih anggun dan menawan sudah menjadi tuntutan kepada ahli-ahli seni khat Arab. Rekaan bentuk yang berlainan wajah dan bentuk telah menambah keunian dan kecantikannya, sekaligus telah memberi ransangan kepada ahli seni khat supaya terus berusaha untuk merekacipta pelbagai bentuk khat.

Di antara punca yang menjadikan khat Arab berada di tempat yang paling tinggi di sanubari umat Islam ialah selain daripada tulisan al-Qur’an dan al-Hadith, khat Arab juga mempunyai keunikan tersendiri, kecantikan yang sangat luar biasa kerana kecantikan yang tidak terdapat pada khat-khat lain. Keunikan reka bentuk dan hiasan serta kaedah yang diperkenalkan oleh para ulama’ Islam telah menjulang khat Arab berada di tempat tertinggi diantara bentuk-bentuk penulisan bahasa lain, sekali gus ia mendapat tempat dihati insan seni, sama ada muslim atau sebaliknya.

 

KHAT ARAB MEMPUNYAI NILAI-NILAI ILUMINASI

Keindahan dan kecantikan khat telah memberi satu ilham baru kepada masyarakat Islam awal. Mereka telah menjadikan kesenian khat Arab sebagai perhiasan untuk menghiasi beberapa tempat yang mulia atau ruang-ruang yang menjadi kemegahan seseorang Islam. Hal demikian bersesuaian dengan tulisan Arab itu sendiri, lebih-lebih lagi ditulis dengan ayat-ayat al-Qur’an al-Karim dan al-Hadith Nabawi al-Sharif. Begitu juga dengan al-Ka`bah al-Musharrafah dihiasi dengan tulisan Arab di mana hampir keseluruhan kain Ka`bah ditulis dengan ayat-ayat al-Qur’an yang disulami dengan benang berwarnakan kekuningan emas atau benang yang sudah dicelup dengan air emas. Tenunan tersebut telah menambah kecantikan dan kemegahan yang sedia ada pada Ka`bah. lebih-lebih lagi Ka`bah merupakan sebuah binaan yang maha agung dalam hati sanubari umat Islam.

Oleh itu majoriti umat Islam telah menjadikan ayat-ayat suci al-Qur’an al-Karim sebagai hiasan yang dilekatkan di dinding rumah-rumah mereka. Hiasan yang menambah kecantikan dan keserian rumah telah menjadikan ramai di kalangan umat Islam tertarik dengan hiasan-hiasan dalaman, bahkan tidak kurang juga yang meletakan ayat-ayat Allah di pejabat-pejabat dan ruang tamu.

 

KALIGRAFI ARAB SEBAGAI SENI DALAM KESENIAN ISLAM

Kesenian memberi makna yang univesal, namun dalam konteks ini, penulis memberi penekanan ke arah seni khat atau seni tulisan tangan. Islam memberi galakan kepada kesenian. Oleh itu nyanyian pada asalnya dibenarkan oleh Islam sekiranya nyanyian tersebut menuju kepada kebaikan atau nyanyian yang berunsur jihad atau pembakar semangat juang di kalangan umat Islam, walaupun pada asalnya dilihat sebagai amalan yang membawa kepada maksiat. Kadang-kadang ia diharuskan apabila nyanyian tersebut memuji kebesaran Allah dan RasulNya. Hal ini dapat dilihat apabila wanita-wanita Ansar telah keluar beramai-ramai menyambut kedatangan Nabi s.a.w. dimana mereka berpantun dan menyanyikan lagu yang memuji kebesaran Allah dan RasulNya. Perkara tersebut telah dirakamkan oleh ahli-ahli sejarah Islam.19

Tindakan `Abdallah Ibn al-Rawahah menentang kaum Mushrikin Mekah dengan syair-syair tidak mendapat halangan dari Rasulullah s.a.w., bahkan Baginda telah meminta agar `Abdallah meneruskan perjuangannya dengan menghalalkan syair-syairnya ke arah puak Mushrikin Mekah. Oleh itu, didapati bahwa kesenian merupakan satu tuntutan dalam mana-mana masyarakat manusia. Islam sangat-sangat menitik berat dalam bidang tersebut selagi ia tidak terjerumus kepada unsur-unsur maksiat dan bercanggah dengan hukum-hukum Allah SWT..

Maka kesenian merupakan satu perkara yang diharuskan di dalam Islam dan di antara kesenian yang digalak oleh Islam ialah Seni Khat Arab. Nabi s.a.w. telah memberi penekanan terhadap seni khat, sekalipun Baginda seorang Ummi. Syeikh Ali Abd Rahman al-Kelantani pernah menulis, Nabi s.a.w pernah bersabda, yang memberi maksud memberi penekanan ke arah tersebut berdasarkan kepada Hadith Rasulullah s.a.w. dalam sabdaNya:20

Apabila kamu menulis Bismillah al-Rahman al-Rahim, maka cantikkanlah tulisan kamu sebagai membesar keagungan Allah SWT..

Dan di dalam Hadith yang lain Nabi s.a.w. telah bersabda:

Apabila kamu menulis Bismillah al-Rahman al-Rahim, maka panjangkan tulisan al-Rahman sebagai membesar keagungan Allah SWT..

Jika diperhatikan kepada kedua-dua Hadith di atas, kita bertambah yakin bahwa setiap orang yang membaca Bismillah dalam apa-apa perbuatan boleh dikatakan sebagai trade mark dalam ibadat bagi seseorang muslim. Justru ulama’ berpendapat orang yang membaca Bismillah sama seperti orang yang membaca keseluruhan nama-nama Allah SWT.. Ini ternyata apabila nama-nama Allah SWT. terkumpul di dalam Bismillah al-Rahman al-Rahim membawa makna yang sangat besar iaitu memuji Allah SWT. sebelum apa-apa amalan dikerjakan. Di sini terserlah bahwa kepentingan Bismillah dan seni khat dalam Islam amat besar sekali, hatta Nabi s.a.w. telah memberi galakan supaya menghidupkan khat tersebut.

Rasulullah s.a.w. terlalu mengambil berat tentang bacaan dan penulisan. Diriwayatkan bahwa suatu hari Baginda telah bertemu dengan seorang Badawi lalu Baginda bertanya: Adakah kamu boleh membaca al-Qur’an? Jawab Badawi: Ya! Maka sabda Nabi lagi: Bacalah Umm al-Qur’an. Maka jawab Badawi tadi: Bagaimana aku hendak membaca Ibu al-Qur’an, sedangkan anaknya belum aku mampu membacanya. Lalu Rasullullah s.a.w. memukulnya dan menghantarnya ke pondok (Katatib) supaya dia dapat mempelajari sesuatu di pondok tersebut, namun tidak berapa lama beliau membolos meninggalkannya, sambil bermadah:21



 

KALIGRAFI ARAB BOLEH MEMPENGARUHI JIWA MANUSIA

Sebagaimana yang telah diketahui orang-orang Arab memang terkenal dengan penulisan khat, malah kecantikan khat Arab telah membawa kepada perubahan dalam sanubari seseorang individu. Sebagai contoh, terdapat di kalangan orang Malaysia berketurunan China yang mahir dengan tulisan Jawi. Kemahiran mereka di dalam kesenian khat Jawi bermakna mereka mahir dengan kesenian khat Arab. Pada hemat penulis, orang-orang seperti ini, tersirat dihati mereka sedikit sebanyak untuk mempertahankan khat tersebut agar ia tidak dikuburkan walaupun terdapat di kalangan orang Melayu sendiri yang telah berusaha mengkuburkan tulisan Jawi. Berdasarkan kepada fakta tersebut, khat Arab bukan hanya berkisar di kalangan umat Islam saja atau di kalangan orang-orang Arab saja, namun ia lebih jauh daripada itu. Oleh kerana itu tidak menjadi satu persoalan baru sekiranya khat Arab dipanggil dengan nama yang berbeda, seperti nama khat Islam kerana besar kemungkinan kerana tulisan Arab bukan menjadi hak mutlak atau kepunyaan khusus orang-orang Arab saja. Tidak mustahil di kurun pertama Islam, kaligrafi Arab menjadi khat Asli untuk kaum Arab saja, namun penghijrahan dan penyebaran Islam dari satu kawasan ke kawasan yang lain serta wujudnya reformasi dalam penyebaran Islam, maka khat Arab telah berpindah daripada situasi kebangsaan kepada situasi yang lebih global. Justru bukan perkara mustahil kalau khat Arab dinamakan dengan khat umat Islam. Begitu juga dengan bahasa Arab itu sendiri, ia bukan lagi untuk orang-orang Arab saja tetapi ia juga menjadi bahasa umat Islam sejagat. Begitulah juga dengan agama Islam itu sendiri yang bukan menjadi kepunyaan orang-orang Arab saja, tetapi ia adalah hak umat Islam di seluruh pelusuk alam.

 

PERMULAAN KHAT ATAU KALIGERAFI ARAB DI NUSANTARA

Khat Jawi atau tulisan Jawi Arab adalah nama baru yang diletakkan kepada tulisan atau huruf Arab yang ditulis di Kepulauan Melayu. Perkataan Jawi berasal dari perkataan Jawa,22 memandangkan khat Arab mula bertapak di Kepulauan Jawa. Justru tidak menjadi satu keunikan apabila disebut dengan nama Jawi kerana ia dinisbahkan kapada Jawa. Khat Jawi memain peranan penting dalam memartabatkan masyarakat Nusantara. Ini bermakna masyarakat Nusantara tidak mempunyai apa-apa khat sebelum khat Arab atau khat Jawi.

Maka tidak mustahil kalau dikatakan tanpa tulisan Jawi, masyarakat Nusantara masih berada di tahap kejahilan. Tanpa penulisan mereka tidak dapat mempelajari sesuatu ilmu kerana setiap ilmu perlu ditulis terlebih dahulu sebelum ia dihafaz.23 Sesudah kemasukan Khat Arab maka satu revolusi berlaku, diantaranya ialah masyarakat Nusantara mula mempelajari huruf-huruf tersebut. Pengenalan tersebut memberi satu kekuatan baru kepada mereka untuk mempelajari al-Qur’an dan hukum-hukum yang berkaitan dengan agama Islam.

Di Semenanjung Tanah Melayu, sebagai contoh pertemuan Batu Bersurat di Terengganu telah membuktikan bahwa khat Arab telah diguna pakai di alam Melayu sejak ratusan tahun lagi. Ia telah bermula sekitar kurun ke-7 Hijrah iaitu 702H/1303M di mana khat Arab telah terpahat di lubuk hati masyarakat Melayu. Pengunaan tersebut secara meluas sehingga surat-surat rasmi kerajaan, lebih-lebih lagi titah di raja turut mengunakan khat Arab.

 

PENGARUH KALIGERAFI ARAB DI NUSANTARA

Sebagaimana yang telah diketahui bahwa ahli-ahli sejarah telah menyatakan bahwa bangsa Arab di antara kaum yang paling banyak menjalankan perdagangan dan perniagaan mengikut jalan laut. Ini bermakna tidak keterlaluan kalau dikatakan merekalah yang telah mempelopori dan memonopoli perniagaan pada kurun-kurun sebelum kedatangan Islam. Seorang sarjana Islam Muhammad ibn Jarir Abu Ja`far al-Tabari (310H/920M) telah menegaskan bahwa sebelum kedatangan Islam, orang-orang Arab telah pun belayar berulang alik dari Cina ke negara-negara Arab. Mereka belayar melalui Selat Melaka di tengah-tengah Kepulauan Melayu.

Seorang sarjana Islam moden Professor Dr Muhammad Zaki Badawi telah menegaskan perhubungan orang Arab dengan orang Melayu telah lama wujud. Penemuan sebiji tembikar Yunani yang dibuat pada tahun 500 sebelum Masihi dan dua keping dirham Baghdadi di Kedah pada 848 Masihi24 telah menunjukkan bahwa khat Arab telah pun sampai ke Kepulauan Malayu. Manakala seorang ulama’ Islam Nusantara yang terkenal al-Allamah Syeikh Shamsuddin al-Ansari telah menyatakan agama Islam mula tersebar di Nusantara sekitar kurun pertama Hijrah di zaman pemerintahan Khalifah `Uthman bin `Affan atau bermula sejak kurun pertama di zaman Rasulullah s.a.w. lagi. Fenomena tersebut di atas telah membuktikan bahwa khat Arab telah pun sampai ke alam Melayu sejak kurun ke-8 Masihi lagi dan kedatangan Islam bermakna khat Islam telah bertapak sejak 1400 tahun yang lampau.

 

JENIS-JENIS KALIGERAFI ARAB DI NUSANTARA

Sebagaimana yang telah ditegaskan diawal lagi bahwa seni khat Arab terlalu kaya dengan bentuk-bentuk tulisan sekaligus telah melahirkan perbedaan ketara di antara satu dengan yang lain. Perbedaan yang wujud diantara satu bentuk ke bentuk yang lain telah melahirkan nilai-nilai yang sangat tinggi dan mengangkat kedudukan khat Arab daripada khat-khat yang lain. Hatta khat-khat tersebut telah tersebar ke seluruh pelusuk alam bukan hanya di alam Melayu saja, bahkan telah sampai ke Eropah dan Afrika Tengah. Adapun di Kepulauan Melayu hanya beberapa jenis khat saja yang telah sampai dan tersebar, di antara khat-khat yang telah sampai dan menjadi tulisan masyarakat Melayu Nusantara ialah:

Khat al-Naskh: Khat Naskh seakan-akan khat Thulus, dan lazimnya i. khat naskh diguna untuk penulisan al-Qur’an al-Karim, majalah dan juga surat khabar. Khat ini di antara salah satu khat Arab yang paling terkenal bukan hanya di negara-negara Arab, malah ia juga terkenal di seluruh pelusuk dunia Islam maupun bukan Islam. Ini kerana umat Islam membaca al-Qur’an, dan secara lazimnya khat al-Qur’an ditulis dengan khat Naskh. Mengikut ahli-ahli sejarah, khat Naskh telah bermula di sekitar kurun ke-4 Hijrah dan ia telah di perkenalkan oleh beberapa orang Islam. Namun demikian, mereka berpendapat bahwa ia telah diubah suai oleh Ibn al-Bawab yang meninggal pada tahun 413 Hijrah. Oleh kerana itu khat Naskh ini dianggap sebagai hasil yang telah diilhamkan oleh al-Bawab25. Khat tersebut telah mula bertukar wajah sedikit demi sedikit apabila ia telah mula diguna pakai di beberapa buah negara Arab, di antaranya al-Maghrib al-`Arabi (negara ini termasuk Libya, Moroko, Tunisia, Algeria, Andalusis). Di antara bentuk-bentuk baru khat naskh dinamakan al-Khat al-Tunisi, al-Khat al-Maghribi, al-Khat al-Fasi, al-Khat al-Qayrawani, al-Khat al-Andalusi, al-Khat al-Tumbakti dan al-Khat al-Sudani.26 Pada tahun 1349H. seorang ahli khat Mesir, Muhammad Mahfuz telah mula mengubah bentuk khat ini dengan ilhamnya sendiri. Beliau telah berjaya mencetuskan bentuk khat naskh yang baru dan menjadikan setiap ayat yang ditulis dengan huruf yang bentuknya seakan-akan crown (mahkota). Lazimnya bentuk tersebut dimulakan di setiap permulaan perkataan, justru sekira diamati khat ini kita akan melihat hurufnya berbentuk crown.27

Khat al-Riqa’ah: Khat Riqa’ah diantara yang termasyhur di kalangan ii. khat Arab dan hampir keseluruhan orang-orang yang menulis tulisan Arab menggunakan khat tersebut. Lebih-lebih lagi khat Riqa’ah mendapat tempat di dunia penulisan Arab dengan kesenian dan kecantikannya yang memudahkan bagi orang mempelajarinya. Khat Riqa’ah mula ditulis di sekitar tahun 1280 H.28 Sesungguhnya orang yang pertama mengilhamkan pengunaan khat Riqa’ah ialah Mumtaz Bik yang berasal dari Turki. Beliau telah berusaha memperkenalkan khat tersebut dan akhirnya berjaya diperkenalkan sekitar tahun 1280H. Ramai ahli-ahli sejarah mengatakan bahwa Mumtaz Bik diantara salah seorang penulis khat berbangsa Turki yang tersohor di kurun ke-12 H. Khat Riqa’ah telah terkenal di kurun tersebut sehinggalah sekarang, justru buku-buku dan majalah-majalah turut menjadikan diantara khat rasmi mereka ialah khat Riqa’ah.

Khat al-Thulus: Khat Thulus di antara khat Arab yang paling terkenal iii. di sudut keunikan dan kecantikannya berbanding dengan khat-khat lain. Ia telah diperkenalkan oleh al-Wazir bin Maqlah.29 Khat ini dikenali dengan keindahan dan kecantikan susunan hurufnya. Oleh kerana itu ahli-ahli khat tidak menganggap seseorang itu sebagai khattat (Penulis Kaligerafi) sekiranya ia tidak mahir di dalam penulisan khat Thulus. Kecantikan khat thulus ini menyebabkan para penulis khat telah bersetuju supaya khat Thulus ini hanya dikhaskan untuk tulisan-tulisan yang berbentuk hiasan saja. Lebih menarik lagi apabila khat Thulus dipilih sebagai perhiasan khusus, penyeri tempat-tempat yang mendapat perhatian umum seperti di dinding-dinding masjid ataupun dewan-dewan yang penting yang menjadi tempat tumpuan ramai. Disebabkan kecantikan khat Thulus juga, ia dipilih sebagai tulisan di bahagian dinding depan Masjid Nabawi di Madinah serta ia ditulis di kain Ka`bah (Kiswah Ka`bah). Penghormatan yang diberi ini sekaligus telah menaik dan melahirkan kehebatan dan kemegahan Ka`bah yang sememangnya manjadi kebanggaan seluruh umat Islam.ka’abah.

Khat al-Farisi:iv. 30 Khat Farisi telah telah diperkenalkan sejak kurun ke-9 H. lagi. Ia diilhamkan oleh seorang ulama Islam yang tersohor di abad itu iaitu Mir Ali al-Tibrizi yang meninggal pada tahun 919H.. Khat-khat tersebut terkenal di beberapa negeri seperti India, Pakistan, Afghanistan dan Iran. Khat Farisi ini bukan hanya terkenal di kalangan orang-orang Islam saja, namun ia juga terkenal di kalangan orang-orang bukan Islam. Sebagai contoh, masyarakat Hindustan di India mengunakan khat tersebut di dalam penulisan mereka.

Al-Khat al-Diwan: Mengikut Shaykh Zakv. i Muhammad Hassan, khat ini telah diilhamkan oleh seorang ahli seni Khat Turki iaitu Ibrahim Munif al-Muslim.31 Ia di antara khat-khat Arab yang tersohor lagi terkenal di kalangan ahli-ahli khat. Kemasyhuran khat tersebut berpunca daripada kecantikan ukiran dan bentuknya, di samping ia telah dinobatkan sebagai khat rasmi di raja. Justru, khat ini hanya ditulis di dalam surat-surat penting khususnya yang berkaitan dengan utusan di raja. Atau dalam ertikata lain, khat Diwan sering diguna pakai untuk penulisan Dawawin Rasmiyyah (Utusan-utusan Rasmi) saja. Di zaman pemerintahan kerajaan Islam `Uthmaniyyah, khat Diwan hanya ditulis di dalam suratan-suratan rasmi kerajaan. Oleh itu ia menjadi kebanggaan di kalangan pemimpin-peminpin negara pada ketika itu. Lazimnya surat-surat rasmi yang diutus dari istana khalifah akan ditulis dengan khat tersebut.

Al-Khat al-Kufi: Di antara khat-khat Arab yang terkenal ialah Khat al Kufi, sejenis khat yang paling banyak jenisnya iaitu sebanyak 70 jenis. Khat ini terkenal di kalangan rakyat Kufah dan perkataan Kufi juga digunakan bersempena nama bandar tersebut yang sekaligus menjadi lambang kebanggaan penduduk-penduduk Kufah itu sendiri.

Al-Khat al-Maghribi: Khat Maghribi dianggap sebagai khat Arab vii. yang paling popular dan tersebar luas di sebahagian besar Benua Afrika Utara dan amat terkenal di Andalusia. Ia merupakan pecahan daripada khat Kufi kuno, justru khat ini juga dinamakan dengan Khat Qayrawan bersempena nama sebuah bandar di Moroko iaitu bandar Qayrawan. Para sarjana Islam sepakat mengatakan bahwa pengasas khat Mahgribi ialah `Uqbah bin Nafi` pada tahun 50 H.32 Kenyataan di atas memberi gambaran bahwa khat Maghribi merupakan khat yang sering digunakan sejak pada zaman para sahabat Nabi s.a.w. lagi.

Khat al-Ijazah: Ahli sejarah berpendapat bahwa khat ini telah viii. diilhamkan oleh seorang ahli khat Islam yang bernama Miyar `Ali Sultan al-Tibrizi pada tahun 919H.. Beliau telah berjaya menghasilkan khat ini setelah beliau berjaya mencantumkan dua seni khat dalam satu iaitu di antara khat Naskh dengan khat Thulus. Kemunculan khat tersebut berpunca daripada kecantikan dan kesenian yang terdapat pada ukirannya yang mengambarkan keindahan khat Arab itu sendiri. Khat ini telah terkenal di sebahagian besar tanah Arab.

 

KESIMPULAN

Dengan penjelasan di atas, adalah telah dikenalpasti bahwa khat Arab telah sampai ke Nusantara melalui pedagang-pedagang Islam di awal kurun ke 2H. dan mula tersebar di beberapa kawasan di Acheh. Khat Arab ini perlu dipelihara oleh semua lapisan masyarakat ia boleh dianggap sebagai eset yang sangat berharga bagi generasi Muslim akan datang. Malah ia merupakan anugerah khusus daripada Allah SWT. kepada insan yang tersemai di dalam jiwanya ciri-ciri kesenian. Oleh yang demikian pembelajaran khat Arab harus diperkenalkan semula di semua peringkat pengajian bermula dari sekolah sehinggalah ke peringkat yang lebih tinggi.

Daftar Pustaka:

2 Abd. Rahman Nawas (1995), Tamadun Islam, Pustaka Haji Abdul Majid.

3 Ahmad Amin (1978), Dhuha Al-Islam, jil. 1, Othman Hj Khalid dan Mohd Marzuki bin Hj Shafie (Trj).

7 Rushdi Ta’imah (1989), belajar linguistic untuk orang luara arab, Isisco.

10 Riyad Salih (1996), Sejarah Penulisan Arab(tjmh), Mekah: Universiti Umm al-Qura.

13 Muhammad `Ujaj al-Khatib (1969), Lamhat fi al-Maktabah wal al-Bahth wa al-Masadir.

14 Ibn Khaldun (1928), al-Muqaddimah, Beirut: Maktabah al-Ma`arif.

19 Abu Hassan `Ali al-Nadawi (1981), al-Sirah al-Nabawiyyah, Kaherah: Dar Ibn Kathir.

21 Ahmad Fu’ad al-Ahwani (t.t.), Pendidikan islam, Kaherah: Dar al-Ma`arif al-Misriyyah.

24 Ahmad Awang et al.(1980), Pengetahuan Agama Islam.

28 Walid al-A`zami (1977), Tarajum Khatatib Baghdadi al-Mu`asirin, Kaherah: Maktabah Dar al-Nahdah wa Dar al-Qalam.

29 Mahmud Tahir al-Kurdi (1982), Khot Arab, t.tmp: t.p.

30 Zaki Muhammad Hassan (1940), Bahasa Arab dan rahasianya, Kaherah,.

Fotenote:

1 Riwayat Muslim.

2 Abd. Rahman Nawas (1995), Tamadun Islam, Pustaka Haji Abdul Majid, h.220.

3 Ahmad Amin (1978), Dhuha Al-Islam, jil. 1, Othman Hj Khalid dan Mohd Marzuki bin Hj Shafie (Trj)., h.276.

4 Ibid., h.183.

5 Ibid., h.253.

6 `Abd al-Rahman Jalal al-Din al-Sayuti (t.t.), al-Muzhir fi `Ulum al-Lughah wa Anwa`uha, Kaherah: Maktabah Dar al-Turath, h . 32-33.

7 Rushdi Ta’imah (1989), belajar linguistic untuk orang luara arab, Isisco, h.34.

8 Mahmud Fahmi Hijazi (1998), Madkhal Ila `Ilmi al-Lughah, Kaherah: Dar Gharib, h.153.

9 Di antara kepadatan maknanya ialah bahasa Arab memberi makna yang meluas hanya dengan satu patah perkataan saja. Sebagai contoh perkataan Daraba, Yadribu, Darban, Daribun, Madribun, Madrabun, Madrubun, Midrabun dan banyak lagi perkataan yang semuanya memberi makna yang berbeda.

10 Riyad Salih (1996), Sejarah Penulisan Arab(tjmh) , Mekah: Universiti Umm al-Qura, h.12.

11 Riyad Salih dan Muhammad Hamid Sulayman (1985), al-Marja` fi al-Kitabah al-`Arabiyyah, Mekah: Universiti Umm al-Qura, h,29.

12 Al-Munjid fi al-Lughah wa al-A`lam (1975),vol. 25, Beirut: Dar al-Mashriq, h.10.

13 Muhammad `Ujaj al-Khatib (1969), Lamhat fi al-Maktabah wal al-Bahth wa al-Masadir, h.30.

14 Ibn Khaldun (1928), al-Muqaddimah, Beirut: Maktabah al-Ma`arif, h.25.

15 Riyad Salih (1996), op. cit., .h.11.

16 Ibid., h. 11.

17 Riyad Salih dan Muhammad Hamid Sulayman (1985), op. cit., h. 31.

18 Ibid, h. 31.

19 Abu Hassan `Ali al-Nadawi (1981), al-Sirah al-Nabawiyyah, Kaherah: Dar Ibn Kathir, h.169.

20 `Ali bin `Abd al-Rahman al-Kelantani (1303H.), al-Jawahir al-Mawhub wa Minhah al-Qulub, Kaherah: Dar al-Tiba`ah al-Misriyyah, h.21.

21 Ahmad Fu’ad al-Ahwani (t.t.), Pendidikan islam, Kaherah: Dar al-Ma`arif al-Misriyyah, h.76.

22 Di Arab Saudi khususnya Mekah dan Madinah, perkataan Jawa bererti orang Melayu dan Indonesia. Sekali gus telah membuktikan bahwa perkataan Jawi diambil dari perkataan Jawa yang bermaksud masyarakat yang berasal dari rumpun Melayu dan mempunyai prinsip-prinsip ketimuran.

23 Masyarakat Arab di zaman dahulu mengingati sesuatu kenangan dengan bersyair sebagai ganti kepada penulisan, lebih-lebih lagi bagi kaum yang buta huruf.

24 Ahmad Awang et al.(1980), Pengetahuan Agama Islam, h.151-159.

25 Riyad Salih (1996), op. cit., h. 34.

26 Ibid., h. 40.

27 Ibid., h. 47.

28 Walid al-A`zami (1977), Tarajum Khatatib Baghdadi al-Mu`asirin, Kaherah: Maktabah Dar al-Nahdah wa Dar al-Qalam, h. 80.

29 Mahmud Tahir al-Kurdi (1982), Khot Arab, t.tmp: t.p., h.110

30 Zaki Muhammad Hassan (1940), Bahasa Arab dan rahasianya, Kaherah, h. 66.

31 Ibid., h. 103.

32 Riyad Salih (1985), op. cit., h. 45




Leave a Reply.